Peranan Seni dalam Pendidikan
Mengikut Dr. Sharifah Norul
Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca,
menulis dan mengira. Penggunaan huruf, “R” adalah satu perkataan yang sesuai
digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni
perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan
memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Terdapat 3 bidang utama dalam mata pelajaran ini iaitu Seni Visual, Seni Muzik
dan Seni Pergerakan. Antara peranan-peranan Seni dalam Pendidikan ialah:
a)
Proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih seronok
Pengajaran yang dilaksanakan
dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran
tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam
penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu,
murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk
yang diajar.
b)
Memupuk nilai kerjasama
Secara semula jadi, kebanyakan
aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada
terlibat dalam kegiatan yang beransur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut
setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai
kejayaan bersama. Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Penidikan merangkumi
aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi
social yang terjalin melalui deria sentuh.
c)
Memenuhi keperluan sosial yang
asas
Apabila semua murid berpeluang menyertai
aktiviti –aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan
terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat social
iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok.
Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai
anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam
kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya
dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka
mempersembahkan aktiviti yang menarik.
Perhubungan mesra antara murid dengan murid
dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menyebabkan murid merasakan bahawa
guru dan rakan-rakan prihatin terhdap dirinya danb menghargai bakat yang
dimiliki.
d)
Murid berpeluang untuk menjalani
proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996),
penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk
mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan
cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah.
Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka
dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai
idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu alat dan bahan,
cara pengelohan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.
e)
Luahan perasaan dan aras
keyakinan yang tinggi
Perasaan merupakan reaksi badan terhadap
rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu,
perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada
seseorang. Guru boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku
yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh
mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina
kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai
keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang
mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang
dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.
Kesimpulan:
Kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan
pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif
dan peranan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan
lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar.